KASIHNYA AYAH…BERKORBAN SEGALA
Hati dan fikiranku tak lekang mengingati ummi dan abah. Entah mengapa, minggu terakhir aku di UIA se m ini, hatiku rasa sangat rindu pada ummi dan abah. Mungkin sudah lama tidak bersua agaknya. Sungguh, cintaku, kasihku, sayangku telah tumpah sepenuhnya pada dua insan yang sangat kusayangi ini, kedua-duanya permata hatiku, jantung hatiku…
Hatiku menjerit bagai mahu pulang segera ke kampung halaman, peluk dan cium mereka, namun taklifanku menuntutku “bertapa” seketika di UIA sehingga tiba 20 Nov. Ah, lama sungguh masa yang berlalu.
“Jinah sorang je yang ucapkan selamat hari lahir kat abah” –ini mesej yang kuterima dari adikku yang berada di rumah, mengingatkan padaku bahawa hari itu adalah hari lahir abah.
Astagfirullah al-Azim, aku beristighfar, air mata hampir menitis, namun sempat kuhalang dari mengalir. Betapa lekanya aku hingga langsung terlupa hari istimewa abah. Leka dek kerana tarikh keramat itu merupakan hari terakhir peperiksaanku, paperku yang last. Mungkin terlalu gembira, aku terlupa hari itu juga adalah hari lahir abahku.
Terus, hatiku tidak tenang pada malam tu, sehingga usai solat Maghrib, aku mendoakan dengan penuh rasa sayu, moga Allah sentiasa menjaga dan memelihara kedua insan kesayanganku..betapa aku berasa lemah dan hina di hadapan Tuhanku, memohan moga dikurniakan yang terbaik buat insan kesayanganku. Air mata begitu murah saat itu.
Abah, terima kasih kuucapkan atas segala pengorbanan yang telah abah berikan pada kami anak-anakmu. Tak pernah aku dengar keluhan darimu, penat atau lelah, sesungguhnya abah, dirimu telah melaksanakan tanggungjawabmu sebagai seorang abah, ketua keluarga sebaiknya.
Abah, terima kasih telah mendidik kami anak-anakmu, terima kasih kerana telah mengajar aku menjadi insan tabah. Sungguh, bangga sekali memiliki abah terbaik sepertimu.
Moga Allah merahmatimu, memberkatimu, dan mengurniakan yang terbaik buatmu, abah…
SAYANG SELALU…ANAKMU
0 comments:
Post a Comment